Proton Holdings Berhad (Proton) melalui anak syarikat milik penuhnya di Indonesia, PT Proton Edar Indonesia (PEI) memperkenalkan model Iriz ke pasaran negara Garuda itu.

 

Indonesia merupakan negara kedua selepas Brunei mengimport model tersebut. Pelanggan di Indonesia menerima dua varian Iriz iaitu 1.3 liter (manual) Standard dan 1.3 liter CVT Standard. Masing-masing dijual pada harga Rp175, 250,000 (RM 57,832.50) dan Rp 185,283,000 (RM 61,143.39).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata Indonesia salah satu pasaran penting buat Proton.

 

"Bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan teguh G2G tetapi juga berkongsi pelbagai persamaan dari segi budaya, rakyat dan bahasa, kita serumpun.

 

"Kedua-dua varian dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif serta Iriz merupakan satu-satunya hatchback kompak segmen kereta bandar di bawah Rp350 juta yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) selain kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek, kawalan cerun (HHA) dan sistem peringatan tali pinggang keledar (SBR), ciri-ciri ini biasanya ditemui pada kereta mewah jenis premium," katanya.

 

Sejak diperkenalkan, Proton Iriz menerima pelbagai anugerah dan penghargaan daripada industri automotif di Malaysia. Antaranya penarafan 5 bintang daripada Program Penilaian Kereta Baru Asean (ASEAN NCAP).

 

Iriz juga menerima anugerah Kereta ASEAN NCAP 5 Bintang Mampu Milik di Malaysia pada Anugerah ASEAN NCAP Grand Prix 2016; Budget Car of The Year untuk Anugerah ASEAN Car of The Year 2016; Reka Bentuk Industri Terbaik 2015 oleh Intellectual Property Corporation; Anugerah Malaysia Good Design Mark 2014 oleh Malaysia Design Council; dan Anugerah Pilihan Rakyat di Anugerah Kereta Tahunan New Straits Times 2014.