Model Peugeot 208 GTi dilancarkan pertama kali empat tahun lalu. Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia kini memperkenalkan Peugeot 208 Gti baharu.

Model kompak hatchback itu lebih berkuasa berbanding generasi sebelumnya. Enjin 1.6 liter THP berkenaan menghasilkan kuasa 208hp dan tork 300Nm. Enjin tersebut menerima pertambahan kuasa 8hp dan 25Nm berbanding sebelumnya. Ini menjadikan 208 GTi lebih berkuasa berbanding RCZ.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.632554.1487738447!/image/image.jpg

 

Dipadankan dengan kotak gear mekanikal 6-kelajuan membolehkan 208 GTi memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.5 saat. Lebih pantas 0.3 saat berbanding sebelumnya. Kelajuan maksimumnya masih kekal iaitu 230 km/j.

Talaan pada suspensi McPherson di depan dan  torsion beam di belakang memberikan pengendalian lincah dan tepat dengan menyesuaikan pada keadaan permukaan jalan demi keselesaan pemandu.

Penampilan 208 GTi tampil menawan menerusi gril depan yang lebih lebar dan bampar dengan rekaan baharu. Perumah lampu kabus kini didatangkan dengan kemasan krom. Pandangan depan masih didominasi dengan rekaan lampu signatur Peugeot  iaitu lampu LED nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED rekaan kuku harimau.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.632560.1487738778!/image/image.jpg

 

Masuk ke dalam kabin, Peugeot i-Cockpit menyambut pemilik. Konsep tersebut lebih mesra pengguna yang mana pemilik tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan butang kawalan dalam kabin.

Posisi skrin sentuh 7-inci berwarna didatangkan standard seperti mana generasi sebelumnya. Warna merah dan hitam meningkatkan lagi aura sporty dalam kabin. Selain tersedia sistem navigasi, Peugeot menawarkan sambungan USB dan Bluetooth.

Kemasan kerusi masih sama seperti sebelumnya menggunakan kemasan kulit  Club Nappa bersama fabrik.  

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.632566.1487738978!/image/image.jpg

 

Bagi keyakinan membrek, 208 GTi dilengkapi dengan cakera bersaiz  302 milimeter (mm) di depan dan 249mm di belakang. Demi ketenangan minda pemilik, model Perancis itu dilengkapi segudang ciri keselamatan pasif dan aktif antaranya enam beg udara, Stability Control, Traction Control, ABS, EBA dan EBFD. Selain itu, 208 GTi didatangkan dengan Electronic Stability Program (ESP) generasi terkini yang membantu mengesan tanda gelincir sisi dan membantu mengurangkan oversteer.

Ditawarkan dengan dua warna iaitu putih dan merah, harga seunit 208 GTi ialah RM143,888 (termasuk insurans).