Berapa kalikah anda  melihat Jaguar di jalan raya tempatan?. Jujur dengan penulis, jarang-jarang sekali bukan. Melainkan anda melalui pusat pameran Jaguar Land Rover, Petaling Jaya di tepi Lebuh Raya Persekutuan. Di situ anda akan temui model-model Jaguar di antara barisan kereta Land Rover yang memenuhi bahagian depan pusat pameran itu.

Seperti logonya yang mengambil inspirasi harimau bintang (panthera onca), sejenis keluarga kucing yang sukar dilihat. Begitulah juga dengan jenama ini. Jaguar bersifat eksklusif.  Ia meletakkan dirinya satu peringkat lebih atas berbanding jenama mewah sebarisnya.

Tidak seperti BMW, Jaguar lebih premium dan tidak mempercayai kepada pendekatan produksi massa. Kerana itulah tidak banyak pusat jualan mewakili jenama ini dan hanya bertumpu di lokasi premium urban.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647471.1490149520!/image/image.JPG

Secara peribadi penulis melihat Jaguar sebagai simbol status dan kejayaan.  Erti kata lain Jaguar hanya diminati oleh mereka yang rela melaburkan sejumlah wang yang banyak.  

Masuk ke kabin, kesan mewah menjadi daya penarik utama kereta ini. Ia diserlahkan dengan  desain dan teknologi dalaman khas Jaguar. Apalagi, terdapat ciri  unik yang menambah kesan mewah.

Satu masalah yang penulis temukan di sini ialah butang kawalan cermin berkuasa elektrik XF jauh berada di depan. Sehingga sulit dijangkau.  Alih-alih, posisi butang memori kerusi yang ditekan.  Jadi, anda akan sering salah menekan tombol jika ingin menurunkan kaca jendela. Penulis bermonolog sendiri mengapa Jaguar tidak meletakkan butang memori  tersebut di sisi kerusi. Tetapi diletakkan di tepi pintu sebaris dengan butang kawalan cermin. Awalnya mengelirukan. Memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647475.1490149642!/image/image.JPG

Beranjak ke kerusi belakang, ruang kaki terbilang luas. Tambahan 15 milimeter (mm) pada kaki, 24mm (lutut) dan 27mm pada bahagian kepala menawarkan suasana selesa dan lapang buat bos di belakang.

Bahkan sistem audio Meridian terasa menggelora saat memainkan barisan muzik mp3. Perjalanan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan kemudian keluar di Serendah menggunakan jalan lama terasa asyik dan tidak membosankan.

Aplikasi Waze membawa penulis meneroka jalan kampung sekitar Bukit Beruntung dan Serendah untuk sampai ke Kuala Kubu Bharu. Saat melalui jalan yang sunyi, penulis mengaktifkan mod Dynamic.  Stereng berkuasa elektrik mengatur pusingan stereng sedikit lebih berat. Terasa hidup. Respons enjin dan transmisi lebih galak. Terasa menyenangkan.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647477.1490149713!/image/image.JPG

Pengendaliannya cukup tepat ditambah tindak balasnya yang baik. Anda seolah-olah menjadi instrumen aktif, ketika mengendalikan setiap gerak lajunya. Bahkan setiap kali pendikit ditekan ke dalam, terasa gejala inertia. Badan ditarik ke belakang dan kuasa mencanak laju. Ibarat kata Cikril, “hang tekan, dia pi terus,” katanya.

Jaguar XF boleh dikatakan lincah dan secara peribadi pengendaliannya adalah lebih baik berbanding BMW 5 Series. Ini disumbangkan penggunaan aluminium di beberapa sektor casis. Material ini memang sudah dikenal lebih kukuh dan ringan berbanding besi.

Transmisi 8-kelajuan automatik dengan Jaguar Sequential Shift menyalurkan tenaga dan tork ke roda belakang dengan halus. Prestasi pada putaran atas terasa sempurna. Kawalan badan XF adalah terukur ketika melalui jalan yang berselekoh sekitar Bukit Beruntung.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647479.1490149837!/image/image.JPG

Bagaikan mengendalikan kereta kecil dan lebih ringan dari kereta-kereta Jerman di kelasnya. Unit pandu uji XF Prestige dipakaikan dengan rim 20 inci Matrix dan tetapan suspensi memberikan respons yang baik.

Kondisi jalan yang beralun dan tidak rata diserap dengan maksimum tanpa menghantar hentakan ke dalam kabin. Bahkan olengan badan minimum. Pendek kata, melayan selekoh sekitar Kuala Kubu Bharu meyakinkan. Cengkaman tayar pada jalan adalah mantap.

Tersedia juga mod lain iaitu Normal, Eco dan Rain Ice & Snow.  Bagi penulis mod Normal  sudah cukup berkuasa dan selesa digunakan sekitar lebuh raya. Untuk mencapai 160 kilometer sejam (km/j) cukup mudah dan dilakukan dalam tempoh yang singkat.  

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647482.1490149969!/image/image.JPG

Untuk jimat bahan bakar, pilihlah mod Eco tersedia. Cuma jangan mengharapkan hempasan tenaga yang memukau.

Unit pandu uji didatangkan dengan ciri Park Assist. Dengan adanya ciri berkenaan memudahkan urusan parkir melintang, menegak dan sisi.

Harga asas XF Prestige  ialah RM450, 000. Tetapi unit pandu uji dilengkapi dengan peralatan tambahan antaranya rim 20 inci, nat kunci roda, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, pelarasan suhu kerusi depan, sensor kualiti udara, glovebox dengan ciri penyejuk, bumbung panorama, ciri vakum pintu, sistem bunyi Meridian, Park Assist dan Blind Spot Monitor menjadikan harga seunit model itu RM520, 511 (+RM70, 511).

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.647484.1490150121!/image/image.JPG

Jika dibanding jenama mewah lain,  Jaguar belum cukup popular di Malaysia. Boleh dikatakan sebagai kereta niche. Tidak semua orang ‘berani’ memilikinya. Sekarang pilihan di tangan anda.

Berani kah anda untuk memilihnya. Jika ya, anda akan memiliki sedan mewah bergaya eksotik nan sporty, pengendalian mampan dan tenaga cukup menjanjikan.

Seberapa berani anda untuk menyisihkan jenama lain yang sudah kukuh  dan lebih memilih sebuah Jaguar? Jika anda yang termasuk berani untuk membeli kereta ini, anda dijamin sukses menarik perhatian siapa saja yang melihatnya.

 

SPESIFIKASI

ENJIN: 2.0L i4 pengecas turbo

SESARAN: 1,999cc

KUASA MAKSIMUM: 240PS @ 5, 500rpm

TORK MAKSIMUM: 340Nm @ 1, 750 -4, 000rpm

TRANSMISI: 8-kelajuan automatik Jaguar Sequential Shift

HARGA: RM520, 511 seunit