Civic merupakan model legenda milik Honda. Kali pertama dilancarkan, model sedan segmen-C itu menjadi ikon kereta fun to drive.  Boleh dikatakan setiap kali dilancarkan, kereta sedan itu akan menjadi fenomena. Cuma, generasi kesembilan kurang mendapat perhatian. Tapi setelah itu Honda bangkit membetulkan kesilapannya menerusi Civic generasi ke-10 yang tampil menawan.

Enam bulan lalu, penulis hanya berkesempatan memandu uji versi 1.5 liter (L) turbo. Ketika itu media diterbangkan ke Sabah. Awal tahun ini barulah tersedia unit pandu uji buat media. Penulis memilih varian 1.8S yang menggunakan enjin 1.8L i-VTEC.

Pemanduan kali ini lebih santai dengan niat di hati ingin ke restoran Bird River, Tanjong Karang, Selangor. Tidak seronok jalan-jalan cari makan berseorangan. Maka, penulis mengajak dua lagi rakan media automotif dan seorang rakan perempuan untuk turut serta.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.640268.1489042652!/image/image.JPG

Perjalanan kami berempat tengah ari Ahad itu bermula dari Shah Alam melalui Meru dan langsung mengikuti papan tanda arah ke Kuala Selangor. Di antara kami berempat, hanya seorang sahaja yang berbadan gempal. Menoleh ke belakang, rakan penulis itu masih mampu duduk dengan selesa. Tidak perlu dibahaskan posisi penumpang. Bahagian penumpang belakang cukup lega, nyaman dan ruang kaki serta kepala adalah lapang. Satu penambahbaikan besar pada kelegaan kabin.

Kancing (buckle) tali pinggang keledar yang agak besar ditarik. Bacaan doa naik kenderaan dimulai lalu kami langsung bergerak. Perjalanan dari Meru menuju ke pekan Kuala Selangor perlu melalui beberapa lampu isyarat. Pada keadaan stop dan go, Civic cukup lancar dan bertindak balas dengan cepat. Tiada gejala teragak-agak dan badan juga tidak dirasakan berat.

Sebaik melepasi pekan Kuala Selangor,  jalan semakin besar dengan tersedianya tiga lorong. Civic dipacu laju menuju ke Pantai Remis, Kuala Selangor. Ketika pendikit ditekan lebih dalam, penulis dapati rev Civic 1.8S agak panjang. Ini kerana Civic menggunakan transmisi CVT.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.640269.1489042794!/image/image.JPG

Keadaan jalan sekitar Meru dan Kuala Selangor sebenarnya tidaklah begitu ‘elok’. Permukaan jalannya tidak rata, beralun dan berlubang. Walaupun keadaan jalan yang tidak rata, karakter suspensi Civic yang lembut meredam keadaan jalan dengan sempurna. Tiada hentakan dihantar ke dalam kabin.  Bahkan olengan badannya juga minimum. Melalui selekoh pada kelajuan tinggi cukup meyakinkan.

Sampai di Pantai Remis, kami berhenti dulu di pinggir pantai. Setelah merakamkan gambar kereta berlatarkan langit biru, kami terus singgah ke pasar tani berhampiran. Mata tertumpu ke arah gerai Otak-otak dan Sata. Penulis  membeli empat cucuk Sata dan sebungkus besar siput sedut.

Sebaik keluar dari Pantai Remis, kami menemui gerai Cendol Durian Sungai Buloh di sebelah kanan. Langsung penulis memusing stereng. Berat stereng yang sederhana memudahkan pengendalian. Sebaik kereta diparkir, ada mata-mata yang menjeling ke arah Civic. Walaupun sudah lama, Civic masih 'panas' di pasaran kerana imej produk itu sendiri selain ramai yang tergoda dengan desain belakang ala coupe yang terlihat agresif.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.640273.1489042884!/image/image.jpg

Usai membasahkan tekak dan menikmati Sata, kami meneruskan baki perjalanan 55 kilometer menuju ke Restoran Bird River. Kerusi fabrik yang empuk memberikan keselesaan untuk perjalanan jauh. Malah, Civic memberikan pandangan luas ke depan manakala tiang A tidak menghalang penulis memantau bahagian depan sebelah kanan dan kiri.

Suara Waze mengingatkan penulis destinasi berada 300 meter di depan. Penulis memperlahankan kenderaan. Jarak brek Civic yang pendek mudah menghentikan kereta yang sedang melaju.

Tercari-cari juga kami sungai di sekitar restoran itu, yang ada hanyalah pokok bunga dan tanah lapang. Rupanya restoran itu berada di Kampung Sungai Burung yang diterjemahkan ke Bahasa English.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.640276.1489042981!/image/image.jpg

Menu pilihan di Bird River ialah Udang Petai, siput sedut, Pak Choi Sos Tiram dan telur dadar.  Soal rasa, menurut kami biasa sahaja. Hanya tiga bintang diberikan daripada lima bintang. Selain makanan laut, restoran itu turut menyediakan makanan barat.

Setelah kenyang, kami pulang semula ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan, rakan-rakan mulai lena. Tiga manusia kekenyangan berkenaan boleh lena dengan nyenyak sehingga berdengkur. Sedangkan agak bising sebenarnya berada di dalam kabin,  bunyi tayar dan angin boleh didengar dengan jelas. Betapa empuk dan selesanya suspensi Civic sehingga mereka lena tidak terganggu.

Penulis berusaha memandu Civic sehalus mungkin agar mereka tidak terjaga dan tinggallah keseorangan menikmati putaran muzik radio Mix FM di samping orkestra dengkuran pulang ke Shah Alam.

 

SPESIFIKASI

ENJIN: 1.8 liter SOHC 4-silinder, i-VTEC

SESARAN: 1,799cc

KUASA MAKSIMUM: 141PS @ 6,500rpm

TORK MAKSIMUM: 174Nm @ 4, 300rpm

TRANSMISI: Kotak gear CVT

CIRI KESELAMATAN:  Dua beg udara SRS, beg udara sisi dan curtain, ABS, VSA, EBD, BA, HSA, ESS, dan lain-lain

HARGA: RM 113, 800 seunit
 

GALERI