Hujung minggu adalah masa untuk istirehat dan menyelesaikan hal rumah tangga yang tertunda ketika hari bekerja. Membasuh kain yang sudah menggunung. Menyapu lantai rumah yang  tidak sedap dipijak. Mengelap debu seminggu pada cermin tingkap dan perabot rumah.  

Namun, tiga minggu melakukan hal yang sama pasti membosankan. Sesekali hujung minggu perlu juga keluar, melakukan aktiviti. Sedang merencana, bunyi Whatsapp masuk. Tertera nama Toyota Dalina. Mesej berbunyi, "beb, ambil Innova hujung minggu untuk test drive."

Pucuk dicita ulam mendatang. Tawaran datang tepat pada masanya. Rencana hujung minggu akan dihabiskan bersama Toyota Innova. Kebetulan, penulis menerima model tersebut lebih awal, maka masa selama enam hari bersama Innova dimanfaatkan sepenuhnya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652199.1490945356!/image/image.JPG

Model MPV (kenderaan pelbagai guna) itu dibawa berkelana sekitar Shah Alam dan langsung dipandu  menuju ke Slim River dan Ipoh, Perak pada hujung minggunya.

Hujung minggu kali ini dimulakan lebih awal, selepas Subuh.  Orang tua selalu berpesan, pintu rezeki itu luas terbuka di awal pagi. Kunci pintar di simpan rapi di dalam beg. Lalu penulis menuruni tangga rumah dan berjalan menuju ke kereta.

Butang unlock pada hendal pintu ditekan, lalu tangan menarik hendal untuk membuka pintu. Penulis dapati hanya pintu pemandu sahaja dibuka kuncinya. Bukan pada pintu penumpang yang lain. Salah satu ciri yang mengambil kira keselamatan pemilik. Terutamanya golongan wanita. Bagi penulis ciri ini cukup bermanfaat terutamanya ketika berada di parkir yang sepi mahupun stesen minyak.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652202.1490945412!/image/image.JPG

Bukan tidak banyak kes yang berlaku, terdapat perompak yang sudah sedia menunggu di tepi pintu tanpa disedari ketika kita ingin masuk ke dalam kereta.

Ketika ingin melangkah masuk, penulis dapati Innova sedikit tinggi. Buat golongan wanita yang memakai kain ketat sukar sedikit ingin melangkah. Bahagian bawah kain akan terangkat sedikit.  

Butang start\stop ditekan. Sebaik enjin dinyalakan, terdengar raungan yang sedikit kasar. Tangan penulis meraba-meraba di bahagian sisi kerusi mencari butang pelarasan elektrik. Namun, tidak jumpa.Ternyata Innova didatangkan dengan pelarasan kerusi manual.  Untuk melaraskan kerusi pemandu secara manual bukan satu masalah. Bahkan untuk mendapatkan posisi ideal cukup mudah.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652206.1490945483!/image/image.JPG

Cuma, pada harga di atas RM100k adalah tidak relevan Innova dilengkapi dengan pelarasan manual. Bahagian kabin Innova jauh lebih elegan. Rekaan papan pemuka, kemasan pintu sehinggalah pada bahagian stereng sedap mata memandang. Ia dilapisi dengan material yang lebih baik. Tiada lagi rasa rata dan konvensional.

Innova juga makin praktikal. Glove box kini tersedia dua. Bahagian atas menyediakan fungsi penyejuk untuk minuman. Sementara bawahnya mampu memuatkan pelbagai barangan. Malah pihak Toyota juga menyediakan ruang simpanan yang terbilang banyak. Sesuai dengan peranannya sebagai MPV keluarga.

Kerusi barisan kedua hanya boleh diduduki oleh dua penumpang sahaja (untuk lebih selesa). Posisinya agak tinggi yang memberikan rasa lapang dan tidak terlalu tenggelam. Cukup selesa dan menyenangkan.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652209.1490945545!/image/image.JPG

Bahkan, meja kecil yang boleh dilipat di belakang penyandar kerusi depan adalah praktikal. Penumpang boleh meletakkan i-pad untuk menonton filem ataupun makanan ringan dan botol minuman ketika perjalanan jauh.

Mendongak ke atas, bukan sahaja tersedia corong dan kawalan pendingin hawa untuk penumpang belakang. Aura mewah kabin diserlahkan dengan penataan cahaya lampu LED biru lembut pada siling. Manakala tambahan panjang 146 milimeter menawarkan ruang kaki yang cukup lega buat tujuh penumpang.

Perjalanan pagi Sabtu menuju ke Slim River, Perak cukup santai. Dingin subuh dan kenderaan yang masih tidak banyak membuatkan penulis terkadang hanyut terbawa kesunyian jalan sekitar Lebuh Raya Utara Selatan.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652210.1490945615!/image/image.JPG

Untuk lebih jimat bahan bakar, penulis menggunakan Mod Eco. Walaupun menggunakan Mod Eco, indikator Eco akan menyala pada Paparan Multi Info di bahagian takometer sekiranya anda memandu dengan berhemah.

Cuma apabila menggunakan Mod Eco respons pendikit sedikit lambat. Malah menjadikan jentera terasa lebih berat. Sedangkan pada Mod Normal, akselerasi terasa halus dan cukup linear.

Keupayaan Innova mula diragui ketika perjalanan menuju ke Ipoh. Jalan yang berbukit sekitar Gua Tempurung memaksa penulis menukar kepada Mod Power. Namun tidak banyak berbeza dengan mod normal. Overtaking terasa cukup berat, apa lagi raungan khas kipas yang masih menyatu dengan putaran enjin memberikan sensasi kereta sedang terseksa.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652211.1490945668!/image/image.JPG

Sedangkan ketika itu di dalam kenderaan hanya penulis bersama seorang teman. Transmisi 6-kelajuan menggantikan empat kelajuan terdahulu juga tidak membantu. Pertukaran gear tidak terlalu halus (masih terasa kasar), apalagi ketika kickdown.

Saat melalui jalan berbukit sekitar Gua Tempurung , proses naik dan turun gigi sering terjadi. Mungkin lebih baik Innova dipadankan dengan transmisi CVT. Penyeksaan berterusan ketika perjalanan pulang semula ke Slim River.

Jika perjalanan pergi hanya penulis bersama seorang teman, kali ini perjalanan pulang dipenuhi barangan. Kerusi barisan kedua ditolak habis ke depan. Ruang belakang bermula dari penumpang barisan ke dua sehingga ke but digunakan sepenuhnya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.652213.1490945731!/image/image.JPG

Barang yang banyak menjadikan jentera lebih berat dan perlu berusaha keras untuk membangunkan kuasa ketika melalui jalan di Gua Tempurung. Seberapa penulis tidak menyukai kombinasi enjin tua dan transmisi barunya, hal tersebut hampir ditutupi dengan kedapan kabin yang baik dan bantingan yang sangat lembut dengan profil tayar tebal.

Untungnya talaan suspensi baharu membuatkan ia terasa seperti sedan. Casis yang lebih kaku membuatkan pengendalian jadi lebih baik. Penulis salut dengan Toyota yang mampu membuatkan kesan olengan badan dari kenderaan seberat 1, 720kg  itu tidak begitu mengganggu. Bahkan gejala melambung yang biasa hadir dengan casis ladder frame sama sekali tiada.

Menerusi pemanduan berhemah dan sentiasa menjaga jarum takometer, tetapan pendingin hawa dan menggunakan Mod Eco, penulis merekodkan jarak perjalanan sejauh 507 kilometer dengan tangki penuh (55 liter). Rekod kecekapan bahan api yang dicatat ialah 8.0 liter setiap 100km.

Tetapi jika dipandu secara biasa, rasanya kecekapan bahan api Innova tidak jauh berbeza dengan versi terdahulu.

 

SPESIFIKASI

TOYOTA INNOVA 2.0G

ENJIN: 2.0L DOHC Dual VVT-i

SESARAN: 1,998cc

KUASA MAKSIMUM: 139PS @ 5, 600rpm

TORK MAKSIMUM: 183Nm @ 4, 000rpm

TRANSMISI: 6-kelajuan automatik

CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara, EBD, ABS, BA, VSC, HAC, ESS, Isofix, dll

HARGA: RM126, 000 seunit

 

GALERI