Kereta MPV (kenderaan pelbagai guna) asal Korea Selatan ini telah lama menghilang dari pasaran Malaysia.  Generasi pertama di bawa masuk sekitar 1999. Bagaimanapun,  generasi kedua MPV itu tidak menjengah pasaran tempatan.


Model yang dimaksudkan ialah Kia Carnival. Tahun ini,  model berkenaan melakukan kemunculan semula  dengan wajah mewah dan elegan. Kehadiran Carnival serba baharu itu mampu mengubati rasa rindu anda.
Penulis bersama beberapa media berpeluang memandu uji Carnival menuju ke Janda Baik, Pahang. Sesi pandu uji selama sehari anjuran Naza Kia Malaysia itu memberi peluang kepada penulis mencuba setiap baris kerusi Carnival bersama empat lagi media lain.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669755.1493893562!/image/image.JPG


Kami menerima varian 2.2D KX.  Bagi varian KX, kerusi didatangkan dengan kemasan fabrik berwarna kelabu dua tona, pelarasan kerusi manual, sokongan lumbar dua pelarasan bagi kerusi pemandu, penutup pintu but manual  dan kawalan pendingin hawa manual.


Ketika penulis mendongak ke atas, setiap barisan kerusi memiliki corong pendingin hawa masing-masing. Kia mengambil kira keselesaan setiap penumpang. Cuma alangkah baiknya sekiranya mereka turut memikirkan tentang soket mengecas telefon pintar buat penumpang di barisan kedua dan ketiga.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669757.1493893620!/image/image.JPG


Berkat saiz Carnival yang besar menyumbang kepada kabin yang lega dan nyaman untuk lapan penumpang. Ruang kaki dan kepala masih terbilang lapang bagi setiap baris kerusi. Sementara, sisa ruang di belakang masih luas untuk menampung barang dan perlengkapan penumpang termasuk membawa haiwan peliharaan.


Akses masuk ke kabin adalah mudah dengan adanya pintu gelunsur elektrik. Bahkan Kia turut menyediakan butang kawalan pada tiang B untuk memudahkan operasi membuka dan menutup pintu gelunsur selain  menarik hendal pintu dari dalam.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669758.1493893687!/image/image.JPG


Konvoi santai Carnival memulakan perjalanan dari Naza Tower Kuala Lumpur. Awal perjalanan penulis memilih untuk duduk di barisan kedua. Jalan yang berselekoh sekitar Lebuh Raya Karak memberi kesan pada penumpang.  Saiz badan yang bagak menyebabkan olengan badan mudah dirasai dari dalam kabin. Ini membuatkan penulis berasa sedikit pening.


Secara peribadi, posisi kerusi juga kurang ergonomik. Agak sukar untuk mendapatkan kedudukan selesa pada bahagian penyandar dan sokongan peha.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669761.1493893756!/image/image.JPG


Apa yang menarik, enjin 2.2 diesel cukup senyap dan tidak bising. Kedapan kabin juga di tahap maksimum apabila bunyi enjin dikedap dengan baik oleh kabin. Walaupun ketika memerah kuasa untuk memotong  atau mendaki bukit.


Tindak balas pendikit juga progresif.  Tujahan tork yang luas menjadikan pelayaran di bandar menyeronokkan. Kuasa 193PS dan tork 440Nm mampu membawa model MPV itu tanpa kekurangan  tenaga.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669762.1493893821!/image/image.JPG


Penghantaran kuasa transmisi 6-kelajuan pengubah tork menghantar kuasa ke roda dengan lancar tanpa sentakan. Kotak gear memainkan peranan baik apabila menukar gear yang sesuai mengikut situasi. Tersedia juga mod manual yang boleh digunakan mengikut keadaan tertentu seperti menuruni bukit untuk menggunakan gear rendah.


Badannya yang lebar memberi sedikit kelebihan pada kestabilan. Tetapi melalui laluan yang sempit sekitar Janda Baik memerlukan keyakinan dan perhatian lebih pada cermin sisi kiri dan kanan. Mungkin kerana penulis masih kurang biasa dengan saiz MPV besar itu.  

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.669763.1493893891!/image/image.JPG


Carnival  tenang ketika dikendalikan. Cuma nisbah berat stereng yang ringan tidak sesuai dengan saiz badannya. Memberikan kurang rasa langsung pada roda.


Kehadiran Carnival menjadi senjata baru Kia untuk bersaing dalam segmen MPV besar. Meskipun persaingan di kelas ini tidak seramai kelas MPV lain, namun tetap menjadi celah potensi antara pilihan MPV tertinggi dan MPV mewah.


SPESIFIKASI KIA CARNIVAL 2.2 CRDI KX
ENJIN: 2.2 CRDi VGT Turbo Diesel
SESARAN: 2, 199cc
KUASA MAKSIMUM: 193PS @ 3, 800rpm
TORK MAKSIMUM: 440Nm @ 1, 750-2, 750rpm
TRANSMISI: 6-kelajuan pengubah tork
CIRI KESELAMATAN: 6 beg udara, ABS, ESC, HAC
HARGA: RM165,888 seunit