Ahli keluarga Mitsubishi Evolution X punya perbezaan berbanding dengan adik beradiknya yang lain. Bermula dengan Evo 1 hingga ke Evo 3, 4 ke 6 dan 7 ke 9 memiliki reka bentuk lebih kurang sama. Sementara versi Evo 10 berubah menjadi lebih gagah dan mewah berbanding model sebelumnya. Ini cuma pandangan peribadi penulis. Mungkin ada yang tidak sependapat.

 

Ruangan Mod kali ini memaparkan model CZ4A yang dipadankan dengan enjin 2.0 liter 4B11 4-sebaris. Kuasa yang dipadankan sudah cukup cemerlang. Tetapi sudah menjadi lumrah manusia. Pasti akan ada sedikit rasa kekurangan dan tidak puas. Justeru itu, pemiliknya Damian Joseph memutuskan untuk menaik taraf nadi jenteranya.  

 

 

Perubahan yang dilakukan, bahagian kepala silinder enjin dipadankan dengan aci sesondol Tomei Poncam 260 darjah. Tidak ketinggalan Synapse ‘diverter valve’. Peralatan prestasi lain turut digunakan pada enjin ini. Antaranya paip bawah dan ‘test pipe’ dari Tomei, intake K&N Typoon, ‘oil catch tank’ Moroso dan unit intercooler Spearco dari Turbonetics lengkap dengan paip ETS.

 

Bahagian sistem penyejukan enjin dikukuhkan menerusi radiator aluminium Koyard Race 53 milimeter dan juga kipas penyejukan enjin dan transmisi dari Spal.