Model segmen-B terlaris Honda Malaysia, City kini tampil lebih segar menerusi versi peningkatan. Mula diperkenalkan pada Mac 2014, lebih daripada 100,000 unit Honda City generasi keempat sudah berada di pasaran tempatan.

 

Buat mereka yang berminat, Honda City facelift kini dibuka untuk tempatan di 88 pengedar Honda seluruh negara bermula Rabu lalu. Agar kekal relevan di pasaran, Honda City facelift menerima kemas kini dari segi kosmetik yang lebih signifikan. City facelift didatangkan dengan rim aloi dua tona bagi menyerlahkan rekaan ramping dan bergaya model sedan itu.

Pelanggan yang memilih varian tertinggi City V, akan menerima lampu depan LED bersama lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus dengan ciri LED bagi penampilan lebih segar. Sementara bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan spoiler ekor itik yang digabungkan bersama lampu brek LED. Tidak ketinggalan lampu belakang LED dan kamera undur dengan pelbagai sudut imej bukan sahaja menyerlahkan penampilan City tetapi juga meningkatkan praktikaliti kereta itu.

 

Sebagai tambahan, kesemua varian City kini dilengkapi dengan butang push start dan smart entry untuk memudahkan pemilik. Soal mekanikal masih kekal sama. Honda mempertaruhkan enjin 1.5 liter i-VTEC dengan teknologi Earth Dreams yang dipadankan dengan transmisi CVT. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 117hp dan tork 146Nm.

Dari aspek penjimatan bahan api, Honda City facelift mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 17.5 kilometer seliter.

 

Selain itu, ruang bagasi masih kekal luas dalam kelasnya dengan saiz 536 liter yang memudahkan lima penumpang membawa barangan masing-masing. Ini menjadikan City sebagai sedan sempurna untuk perjalanan jauh mahu pun mengisi beg golf.

 

Untuk ketenangan minda pemilik, Honda Malaysia tidak berkompromi dengan tawaran ciri keselamatan. Model tersebut dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS) sebagai standard bagi kesemua varian. Manakala model V didatangkan dengan enam beg udara.

Sebagai pendahulu dalam kelasnya, keselesaan dan ruang luas serta kecekapan bahan api, City peningkatan menetapkan satu penanda aras tersendiri dengan nilai tambah produk mengikut trend terkini. Ia memenuhi keperluan setiap orang bermula dari rekaan sehinggalah ke prestasi dan praktikaliti.

 

Pelanggan boleh memiliki City baharu apabila sedan itu dilancarkan suku pertama tahun ini. Maklumat lanjut layari www.honda.com.my.