Yamaha merupakan pengeluar Jepun yang memiliki koleksi motor sports yang terbaik bermula dari sport fairing, naked, street bike, dual kruiser sehinggalah dual purpose.

Yamaha MT atau lebih dikenali dengan 'Master of Tork' dibangunkan buat penunggang yang mengutamakan tork berbanding kuasa/kelajuan maksimum.  Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) memperkenalkan Yamaha MT-07 tiga tahun lalu.

Tiba masanya produk berkenaan melalui kitaran produk agar kekal relevan. Pihak HLYM menawarkan dua warna baharu untuk model naked berkenaan.

Pengguna kini boleh memilih warna Blue atau Night Flo. Warna baharu model pemasangan tempatan (CKD) itu sudahpun berada di pasaran pertengahan Januari ini.

Harga jualan asas termasuk cukai GST ialah RM 36,795.78 (tidak termasuk cukai jalan, nombor plat dan insurans) seunit. Terdapat peningkatan harga. Sebelum ini, MT 07 versi CKD diperkenalkan pada 2015 dengan tanda harga sekitar RM35, 296.

Bahagian mekanikal tiada perubahan. Yamaha MT-07 masih menggunakan khidmat enjin dua silinder DOHC penyejukan cecair. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 55kW pada 9,000rpm dan tork 68Nm pada 6, 500rpm. Penghantaran kuasa lancar ke roda belakang ditugaskan kepada transmisi 6-kelajuan.