Ini berita baik buat pengikut jenama Triumph. Bukan produk pakaian dalam wanita tetapi jenama dua roda asal British. Untuk tahun ini, Fast Bikes Sdn Bhd (Fast Bikes), pengedar rasmi jenama motosikal Triumph di Malaysia bakal menggegarkan pasaran tempatan menerusi  lima model Triumph 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata model berkenaan merupakan tambahan kepada model sedia ada dan diharap dapat memastikan pertumbuhan positif serta kejayaan kepada jenama Triumph tempatan.

Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, pihak Fast Bikes sudah mengumumkan harga bagi model-model berkenaan. Berikut senarai produk Triumph pasaran tempatan:

 

STREET TRIPLE

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.643522.1489557200!/image/image.jpg

Pihak Fast Bikes bakal membawa masuk tiga model Street Triple iaitu Street Triple R LRH (Low Ride Height), Street Triple RS dan Street Triple S. Bagaimanapun Street Triple S akan menyusul kemudian. Setiap varian didatangkan dengan peringkat kuasa, prestasi, teknologi dan sistem suspensi tersendiri.

Model Street Triple menggunakan enjin Daytona bersesaran 765cc. Menariknya, kira-kira 80 bahagian enjin menerima kemas kini antaranya pertambahan saiz gerek dan lejang, aci baharu, omboh dan barel yang disadur Nikasel aluminium. Perubahan itu menyumbang kepada prestasi cemerlang ketika pecutan julat pertengahan dan rendah. Walaupun menggunakan enjin sama, setiap model menghasilkan kuasa berbeza.

Enjin Street Triple RS menghasilkan kuasa 123PS pada 11, 700rpm dan tork 77Nm yang dicapai seawal 10, 800rpm. Manakala Street Triple R LRH pula berkuasa 118PS pada 12,000rpm dan tork 77Nm pada 9, 400rpm.  

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.643523.1489557307!/image/image.jpg

Bahagian kotak gear 6-kelajuan turut ditala yang menyumbang kepada nisbah gear satu dan dua yang pendek. Geometri gear juga diubah agar tukaran gear lebih lincah.

Street Triple dilengkapi dengan skrin TFT baharu yang memudahkan akses kepada informasi penting. Bezanya RS dengan model yang lain, ia dilengkapi dengan lap timer eksklusif.

Tidak ketinggalan mod tunggangan turut disediakan yang mana Street Triple R didatangkan dengan mod Sport, Road, Rain dan Rider. Model RS pula lima mod tunggangan dengan tambahan mod Track.  Harga jualan R LRH ialah RM 58,900 seunit dan RS ialah RM66,900 seunit.

 

BONNEVILLE T100/ T100 BLACK

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.643525.1489557409!/image/image.jpg

Model pengenalan asas dari keluarga klasik Bonneville ini dikuasakan enjin 900cc yang mampu menghasilkan kuasa 55PS pada 5,900rpm dan tork 80Nm pada 3, 230rpm. Penghantaran kuasa ke roda ditugaskan kepada kotak gear 5-kelajuan. Enjin penyejukan cecair itu mampu memberikan kecekapan bahan api 29 peratus lebih baik berbanding model lama penyejukan udara. Model klasik itu menggabungkan kemasan, perincian dan ciri yang ada pada abang besarnya T120 dan T120 Black.

Pemilik juga boleh memilih 150 aksesori untuk mengubahsuai jentera mengikut selera. Lampu belakangnya menggunakan ciri LED dan dipadankan dengan ekzos rekaan 'peashooter' yang menghasilkan suara asli jentera klasik British.

Bagi peringkat keselesaan dan pengendalian lebih baik, T100 dilengkapi teknologi ABS, kawalan traksi dan torque assist clutch. Kesempurnaan tunggangan dibantu oleh dimensi jarak roda, rake dan trail lebih pendek berbanding sebelumnya serta pelana yang rendah. Tersedianya sambungan USB memudahkan operasi mengecas.

Harga T100 dan T100 Black bermula dari RM63,900 (warna hitam) dan RM65,900 (skim dua warna).

 

BONNEVILLE BOBBER

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.643527.1489557492!/image/image.jpg

Kehadiran Bonneville Bobber bakal menggegarkan pasaran jentera moden klasik tempatan. Imej Bobber diserlahkan menerusi garisan badan halus, tongkat rendah, pelana tunggal, hendal bar yang lebar dan rata, ukiran pada tangki, rim berjejari, dan roda belakang lebar.

Paling menarik pelana Bonneville Bobber boleh di laras mengikut saiz dan gaya tunggangan pemilik. Pan pelana aluminium yang inovatif itu boleh dinaikkan dan diturunkan serta ditolak ke depan atau belakang untuk mendapatkan posisi tunggangan dinamik.

Enjin 1,200cc menghasilkan kuasa 77PS pada 6,100rpm dan tork 106Nm pada 4,000rpm. Enjin dengan nisbah mampatan 10.0:1 itu dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan. Penunggang boleh memilih dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain.

Harga jualan Bonneville Bobber ialah RM74,900 dan RM75,900 bagi yang memilih warna badan dua tona.

 

STREET CUP

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.643529.1489557579!/image/image.jpg

Street racer yang satu ini akan dijual pada harga RM65,900 seunit. Triumph Street Cup didatangkan dengan ciri baru antaranya pelana peluru autentik dan kowl pelana cafe racer yang boleh ditanggalkan.

Motosikal Bonneville Urban Sports ini digabungkan dengan senarai teknologi yang memfokuskan kepada penunggang antaranya ride-by-wire, kawalan traksi, ABS, torque assist clutch dan pelana yang rendah menawarkan peringkat kawalan dan keselesaan yang meyakinkan.

Street Cup dijana enjin 900cc SOHC penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 55PS pada 5, 900rpm dan 80Nm pada 3, 230rpm.

Penghantaran kuasa ke roda belakang ditugaskan kepada transmisi 5-kelajuan. Pihak Fast Bikes Sdn Bhd turut memberitahu akan membawa masuk model Street Scrambler.

Penulis percaya anda pasti tergugat dengan barisan produk seksi dari Triumph itu...meleleh bos...