Hampir 4 juta lelaki Vietnam dijangkakan tidak berpeluang berkahwin menjelang tahun 2050 jika ketidakseimbangan nisbah jantina di negara itu berterusan.

Jabatan Perancangan Keluarga dan Populasi Hanoi menjangkakan dengan nisbah sekarang, akan berlaku kekurangan populasi wanita menjelang 2050, menyebabkan 2.3 hingga 4.3 juta lelaki tidak berpeluang mempunyai isteri.

Meskipun ada yang beranggapan bahawa perkara ini tidak serius, pakar dalam bidang populasi memberi amaran bahawa situasi ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti pelacuran, pemerdagangan manusia, dan penyebaran penyakit kelamin.

Di Vietnam, mempunyai anak lelaki dianggap penting untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua. Ini disebabkan anak perempuan akan meninggalkan keluarga untuk tinggal bersama keluarga suami selepas berkahwin.

Keutamaan mempunyai anak lelaki sudah berakar umbi sejak sekian lama, maka beberapa tahun kebelakangan ini Vietnam telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi ketidakseimbangan jantina di negara tersebut. Meskipun begitu, program seperti kesedaran perancangan keluarga masih berdepan kesukaran, menimbulkan kebimbangan tentang kesan ketidakseimbangan nisbah lelaki dan wanita di masa akan datang.