Banyak masalah kesihatan dan penyakit kronik disebabkan rokok telahpun diketahui umum. Sakit jantung, kanser paru-paru, masalah hati, katarak, kemandulan dan banyak lagi. Namun, kesedaran awam tentang bahaya rokok masih lagi kurang. Dan ramai yang tidak tahu bahawa rokok turut mengancam sistem keutuhan tulang badan seseorang.  

 

MEROKOK DAN OSTEOPOROSIS

 

Secara saintifik, masalah kerapuhan sistem tulang seseorang turut dikenali sebagai Osteoporosis. Walaupun ramai yang menganggap masalah osteoporosis sering kali melibatkan kaum wanita, ternyata andaian itu salah. Sesiapa sahaja boleh menghidap penyakit ini. Kerapuhan tulang seseorang boleh menyebabkan kepatahan, seterusnya sakit dan sengal-sengal badan, lumpuh dan kematian.

Apakah punca berlakunya Osteoporosis?. Seperti sedia maklum, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan Osteoporosis. Ini termasuklah masalah keturunan dalam keluarga, tidak cukup kalsium dalam badan (kalsium adalah mineral yang paling banyak dalam badan dan 2% daripada berat badan terdiri daripada kalsium. 99% daripada kalsium badan pula terdapat dalam tulang dan gigi), penggunaan ubat terlarang, kurang melakukan aktiviti fizikal dan meminum arak. Selain itu, Osteoporosis turut disebabkan oleh tabiat merokok. Kajian baru-baru ini telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara penggunaan tembakau atau nikotin berlebihan di dalam badan dengan kekuatan tulang seseorang.  Jelas, para perokok tegar terutamanya berisiko tinggi untuk mengalami Osteoporosis jika tidak menghentikan tabiat buruk tersebut.

 

KESAN ROKOK PADA SISTEM TULANG

Semakin banyak kandungan nikotin yang anda hisap, semakin tinggi risiko anda menghidap Osteoporosis di usia tua.

Perokok yang mengalami kerapuhan tulang akan mendapat kesukaran bila tiba masa dirinya dirawat.

Toksin di dalam sebatang rokok dapat memberi kesan buruk pada keseimbangan hormon (estrogen) yang diperlukan tulang untuk kekal kuat.

Asap rokok menghasilkan pelbagai radikal atau molekul berbahaya yang mampu menyerang sistem pertahanan semula jadi manusia. Hasilnya, tindak balas badan akan terjejas termasuk sel-sel, organ dan hormon untuk mengekalkan tulang menjadi sihat.

Merokok meningkatkan paras hormon Kortisol yang membawa kerosakan berganda pada struktur tulang.

Merokok membunuh sel Osteoblasts – sel penting untuk penumbuhan tulang yang teguh

Akibat merokok memusnahkan pembuluh darah seseorang, ia mampu merosakkan saraf di jari dan telapak kaki, dan membawa pada peningkatan risiko keretakan tulang di bahagian pinggang.