Kebiasaannya seseorang lelaki tidak akan terfikir sekiranya perhubungan yang dijalinkan bakal dilanda   masalah. Tidak kira sama ada dalam hubungan cinta atau pun perkahwinan, golongan lelaki jarang mengambil langkah dan inisiatif untuk menyelamatkan sesebuah perhubungan. Bukan kerana tak sayang, tapi kerap kali ego menjadi dalang.

Seperti wanita, lelaki juga merasakan kehilangan dari segi masa, usaha, kewangan dan perasaan sekiranya hubungan yang telah terjalin untuk sekian lama terputus begitu sahaja. Jadi guys, sebelum ego menjadi sebab kamu berputih mata, latih diri untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Jangan sekali-kali berhenti untuk jatuh cinta bagaikan kali pertama anda melihatnya!

Ini bermakna, anda jangan mensia-siakan perhubungan yang sedia ada. Jangan pernah ada rasa bosan untuk bersama dengan pasangan anda. Janji untuk setia bersamanya sehingga akhir hayat. Langkah yang wajar diambil kira? Tingkatkan lagi perhubungan dengan mengamanahkan hati anda pada si dia ke alam perkahwinan. Lindungi hati si dia untuk selamanya dan jangan pernah atau mudah berasa jemu untuk bersama si dia.
 
2. Sentiasa melihat yang terbaik dalam dirinya

Fokuskan pada perkara-perkara yang anda suka terhadap dirinya. Meskipun tiada insan yang sempurna, berikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkara-perkara yang anda suka tentang dirinya. Kasih sayang sepatutnya mencerminkan nilai-nilai diri si dia yang membuatkan anda rasa bagaikan jejaka paling bertuah di muka bumi ini.

3. Bukan tugas anda untuk mengubah si dia

Apabila ego melanda diri anda, anda cuba untuk mengubah perlakuan dan cara hidup si dia. Tugas anda adalah untuk memastikan perubahan pada dirinya membolehkan anda bertoleransi dan menyukai dirinya dan bukan untuk mengubah dirinya. Jika si dia nekad untuk berubah, cintai dirinya untuk masa akan datang dan bukan untuk masa silam.

4. Cari kebahagiaan untuk dikongsi

Kebahagiaan ialah untuk dikongsi; jangan hanya expect si dia untuk menceriakan kehidupan anda tanpa anda melakukan yang sama untuknya. Cari kebahagiaan diri sendiri juga untuk dikongsi bersama si dia. Sentiasa berkomunikasi dan jangan takut memberi pendapat serta tunjuk ajar kepada si dia bagaimana untuk lebih membahagiakan hubungan ini.

5. Benarkan si dia untuk berasa sedih atau kecewa untuk seketika

Anda juga perlu membenarkan si dia berasa sedih atau kecewa untuk seketika. Percayalah bahawa si dia ingin anda memberikan sokongan moral dan emosi untuk membolehkan si dia membebaskan sisi femininnya. Si dia hanya memerlukan bahu untuk membuka jiwa dan mindanya. Anda tidak perlu membebel atau melarikan diri apabila si dia berasa sedih. Kawal mulut dan emosi anda apabila perkara ini berlaku.

6. Learn from your mistakes... Not hers!

Si dia mungkin pernah melakukan kesilapan, begitu juga anda. Jangan terus-terusan menghukum pasangan anda atas sesuatu perkara yang telah disesalkan. Jika dia telah belajar daripada kesilapannya, tiada sebab untuk anda mengungkit. Fokus untuk memperbaiki diri dan belajar untuk menjadi semakin matang.

7. Segera memaafkan

Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Usah merajuk dan berdiam diri terlalu lama. Segera memaafkan dirinya dan jangan lupa juga untuk meminta maaf kepada si dia sekiranya anda yang melakukan kesilapan. Jangan sebab ego, anda kehilangan insan yang paling disayangi.