Apabila sudah lama menjalinkan hubungan, kadang kala kita tidak sedar bahawa tingkah laku kita mengundang keretakan dan perpecahan. Ada pasangan yang kekal bersama walaupun sudah tidak ada perasaan cinta kerana tidak sedar mereka sudah lama memasuki fasa keretakan dalam hubungan. Jika kamu ada melakukan  perkara-perkara berikut, mungkin kamu perlu fikirkan kembali sama ada cinta antara kamu dan pasangan masih ada dan mampu bertahan.

1. Asyik kira markah

Setiap kali kamu dan si dia bertengkar, mesti salah satu pihak akan mengungkit kesalahan lama. Kalau kesalahan tu baru berlaku semalam tak mengapa, tapi kalau perkara yang dah berlaku tiga tahun dulu pun masih nak diungkit itu menunjukkan tanda perhubungan yang tidak sihat. Kamu dan pasangan kamu juga saling mengumpul markah untuk dijadikan modal pertengkaran akan datang.
Sikap ini amat meletihkan mental dan fizikal kamu dan pasangan. Sebabnya, kamu terlalu fokus untuk mengingati kesalahan yang pernah dilakukan oleh si dia sehingga kamu tidak lagi menghargai momen-momen penting bersama. Jadi, cuba fikirkan dalam-dalam. Adakah kalian masih bersama hanya kerana masing-masing tak mahu kalah dan call it quit?

2. Terlalu banyak sarcasm dalam komunikasi

Bila ada rasa tidak puas hati, kamu tidak cuba untuk berterus-terang kepada pasangan. Sebaliknya, kamu menggunakan ayat-ayat pedas untuk menyakitkan hati si dia. Dengan berbuat demikian, kamu berasa puas untuk seketika. Namun, bila pasangan kamu buat tak faham, kamu sendiri yang akan makan hati pula. Jika inilah rutin komunikasi kamu dan pasangan, hubungan kamu dan si dia sedang memasuki fasa keretakan. Percayalah, bertengkar secara nyata sekali-sekala adalah lebih baik jika kamu mahu memahami satu sama lain.

3. Hanya tahu beli penyelesaian

Setiap kali kamu berkonflik, satu-satunya penyelesaian ialah si dia membelikan kamu ganjaran atau sebaliknya. Penyelesaian ini bersifat sementara kerana isu yang perlu diselami tidak diselesaikan dan sekadar dikaburi. Sekali dimulakan, sikap ini akan menjadi kebiasaan dan menyebabkan hubungan kamu bergantung kepada materialism semata-mata. Secara tak sedar, membeli penyelesaian setiap kali berlaku konflik bermakna kamu cuba mengelak berhadapan dengan masalah dan enggan berusaha memperbaiki komunikasi dan hubungan sekarang.

4. Cemburu buta berpanjangan

Mengawal tingkah laku dan pergaulan pasangan sehingga menyebabkan pasangan rasa tersepit merupakan tindakan yang tidak sihat. Kamu tidak mengizinkan si dia lepak bersama teman-temannya kerana tak mahu dia merokok, atau memarahinya berpakaian cantik kerana takut menarik perhatian lelaki lain bukanlah cara menunjukkan kasih sayang kamu kepadanya. Sebaliknya, sikap control freak kamu itu akan mengundang si dia untuk menipu supaya dia dapat melakukan perkara yang dihajati tanpa membuat kamu marah.
Perasaan cemburu itu asasnya normal dan sihat untuk sesebuah perhubungan. Namun cemburu buta boleh mendatangkan pelbagai komplikasi dari segi sosial, psikologi dan fizikal. Ingat, kamu juga perlu hidup dengan tenang dan fokus kepada komitmen-komitmen kamu yang lain.

5. Perlu korbankan kegembiraan sendiri

Matlamat hidup kamu hanya mahu menggembirakan si dia. Kamu sanggup berbuat apa sahaja, termasuk mengorbankan masa dan wang ringgit supaya mood pasangan kamu sentiasa baik. Setiap kali si dia marah atau tidak gembira, kamu akan merasakan bahawa kamu telah membuat kesilapan besar. Kamu juga perlukan validation dari pasangan sekiranya kamu mahu berasa gembira melakukan sesuatu yang kamu minat.
Jika kamu sampai perlu memaksikan kegembiraan kamu kepada seorang individu, itu bukanlah kebahagiaan yang sebenar. Kegembiraan dalam percintaan ialah perasaan yang perlu dikongsi; maka kalau dia tidak gembira atas kegembiraan kamu, sudah masanya kamu bersedia untuk angkat kaki.