Bos Volvo, Pehr Gyllenhammar (1970-1994) merupakan individu yang begitu berpegang kepada tradisi. Pada pandangan beliau, fokus Volvo ialah menghasilkan sedan dan wagon kelas menengah yang selesa, utuh dan selamat. Ia tidak bersaing dengan Mercedes-Benz atau Jaguar.

Volvo tidak pernah menjadi pengeluar kereta arus perdana. Boleh dikatakan agak lama jenama itu terperangkap dalam filosofi sendiri. Pengeluar kereta Scandinavian itu lebih memberi tumpuan kepada keselamatan. Tidak hairan sehingga kini Volvo dikenali sebagai jenama kereta paling selamat di dunia. Bahkan merekalah pengeluar pertama yang memperkenalkan tali pinggang keledar pada kereta.

Setelah berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian, Volvo mula berkembang di bawah pemilikan Zhejiang Geely Holding Group (Geely). Buat pengetahuan anda, Geely juga sedang memancing pemilikan saham Proton Holdings Berhad.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673683.1494582632!/image/image.JPG
Pengerusi dan pengasas Geely, Li Shufu melabur sebanyak USD 11 bilion bagi membolehkan Volvo membangunkan model baru dan membangunkan kilang pemasangan di China. Syarikat Sweden itu diberikan kebebasan untuk menguruskan jenamanya dan melakar sendiri perjalanan Swedish-nya. Kini jenama berkenaan berani bersaing dengan model-model Jerman lain. Kejayaan boleh dilihat menerusi model XC90.

Kejayaan itu diteruskan oleh model S90 dan V90. Penulis percaya, S90 akan diterima baik di Malaysia seperti mana XC90. Sedan mewah itu bakal bersaing dengan model Mercedes-Benz E-Class, BMW 5 Series dan Audi A6. Oh, tidak lupa Jaguar XFL dan Lexus GS juga.

Cukup dahulu penulis berceloteh tentang jatuh bangun jenama Volvo. Teruskan membaca untuk mengetahui pengalaman pandu uji Volvo S90 T5.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673686.1494582722!/image/image.JPG

Rekaan Padu dan Elegan
Dari segi rekaan, Volvo sudah 'move on' dengan rekaan lamanya. Rekaan yang ditampilkan tidak lagi berkotak dan kelihatan seperti pak cik. Volvo kini bijak bermain dengan garisan dan lekuk pada badan.

Pandangan depan S90 yang tajam diserlahkan dengan ciri utama Volvo iaitu lampu depan LED berkonsepkan tukul Thor. Tidak ketinggalan jeriji dan logo baharu di depan.  

Rekaan berkenaan jelas menambat perhatian pengguna lain. Beralih ke bahagian sisi, garis halus dan skirt sisi kelihatan lancar namun tegas menjadikan penampilannya memukau. Lain pula di bahagian belakang. Sama ada anda menyukainya atau tidak. Bagi penulis sedikit kaku. Rekaan lampu berhenti seperti bentuk  huruf “B” itu dilengkapkan dengan ekzos trapezium.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673688.1494582776!/image/image.JPG
Kabin lapang
Masuk ke kabin, tiada lagi rekaan klise Volvo menerusi konsol tengah terapung yang penuh dengan butang kawalan. Ruang kabin luas, mewah dan elegan.
 
Ia dicerminkan menerusi penggunaan material kemasan kulit dan kombinasi panel kayu pada papan pemuka, konsol tengah dan trim pintu. Bahkan, beberapa panel hiburan yang begitu lengkap dan saling terintegrasi juga di pasang pada papan pemuka S90.

Sebagai contoh terletaknya layar sentuh Sensus Connect pada bahagian tengah. Skrin yang persis ipad itu mengurangkan penggunaan tombol kawalan audio dan pendingin hawa. Semuanya dioperasi menerusi skrin sentuh berkenaan. Ini menjadikan penampilan papan pemuka lebih  bersih dan ringkas.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673689.1494582826!/image/image.JPG
Sistem dari layar sentuh sembilan inci itu mudah dioperasi. Setiap animasi terasa sangat lancar dan lag free. Bahkan rasa skroling tidak jauh berbeza  menggunakan  iPhone.

Di samping itu, Volvo S90 dilengkapi dengan sistem audio berprestasi tinggi 10 pembesar suara. Sistem bunyi 330 watt berkenaan menghasilkan suara lebih mantap ketika barisan muzik dimainkan.

Kerusi empuk dengan kemasan kulit upholsteri melengkapi kemewahan S90. Penulis menikmati keselesaan posisi duduk yang ke dalam. Ia memeluk bahagian sisi, belakang dan pinggul dengan selesa. Secara peribadi, hanya Volvo mampu menghasilkan kerusi yang ergonomik.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673690.1494582873!/image/image.JPG
Pemilik boleh memilih tiga warna kabin bagi model S90 T5 bermula dari Charcoal, Amber dan Blond. Unit pandu uji didatangkan dengan pilihan warna Blond. Ini nasihat buat bakal pembeli S90 T5. Warna Blond bukanlah pilihan yang tepat. Tidak dinafikan warna tersebut membuatkan kabin lebih lapang dan ceria. Tetapi warnanya yang terang akan menyebabkan kotoran mudah dilihat.

Kuasa Tanpa Batas
Dua hari memandu S90 T5 meninggalkan detik-detik menarik buat penulis. Bagi penulis enjin Drive-E 2.0 liter pengecas turbo sudah cukup berkuasa dan mencukupi. Tidak terbayang sekiranya memandu versi T6 dengan tambahan kuasa 66hp dan lebihan tork 50Nm.

Pada awal pergerakan, enjin S60 T5 membangunkan kuasa dengan mudah. Sehinggakan ketika di lebuh raya penulis sendiri tidak menyangka sudah mencapai 180 kilometer sejam (km/j). Walaupun pendikit tidak dipijak sepenuhnya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673691.1494582924!/image/image.JPG
Kuasa tujahan tork yang agak besar menyumbang kepada sedikit gejala tork steer. Tetapi masih boleh dikawal.  

Penghantaran kuasa adalah secara langsung menerusi kotak gear 8-kelajuan automatik. Nisbah gear pada transmisi 8-kelajuan itu ditala dengan baik. Transmisi menukar gear yang sesuai mengikut situasi. Lancar tanpa gejala sentakan.  

Kuasa yang besar pada sedan ini hadir dengan suspensi yang menurut penulis agak lembut. Ia memberikan keselesaan buat penumpang di dalam kabin. Ketika melalui selekoh pada kelajuan tinggi, gejala olengan juga minimum. Bagi penulis pengendalian S90 agak lincah dan tajam pada jalan berliku.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.673694.1494582984!/image/image.JPG
Bunyi bising angin dan tayar juga sangat rendah. Terasa sungguh aman berada dalam kabin. Tahap penglihatan juga cukup baik.  Tiang A yang landai dan nipis tidak menghalang pandangan di sebelah sisi. Nisbah berat stereng juga diselaraskan mengikut kelajuan. Ini memberikan keyakinan kepada penulis.

Volvo semakin berkembang di bawah pemilikan Geely. Keberanian tampil berbeza adalah satu percaturan yang tidak merugikan. Kejayaan tersebut dapat dilihat menerusi model XC90. Volvo bukan sahaja dilabel sebagai kereta paling selamat, kini hadir dengan pakej lengkap menerusi rupa yang menawan dan mewah. Jenama tersebut mampu mengejar jenama Jerman yang lain jika konsisten mengekalkan momentum berkenaan dan mengemas kini produk sedia ada. 

SPESIFIKASI VOLVO S90 T5
ENJIN: Drive-E 2.0 liter pengecas turbo
KUASA MAKSIMUM: 254hp @ 5, 500rpm
TORK MAKSIMUM: 350Nm @ 1, 500-4, 800rpm
TRANSMISI: 8-kelajuan automatik Aisin
HARGA: RM388, 888 seunit

GALERI