Rokok seludup amat terkenal di negara kita kerana harga yang murah dan rasa yang lebih kurang seperti rokok yang berjenama.

Memiliki, mengedar, menyorok, menjual, mengangkut dan menyimpan rokok seludup merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, di mana pesalah boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Terbaru mengenai Akta ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah bercadang untuk meminda Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 ini dengan menaikkan denda minimum kepada RM100,000 bagi kesalahan yang berkaitan dengan rokok atau minuman keras yang belum diluluskan oleh jabatan itu pada Julai ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam menjelaskan bahawa ini adalah sebahagian daripada langkah drastik Jabatan Kastam untuk menangani kes penyeludupan rokok dan minuman keras di negara ini.

"Pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 atau 10 kali ganda nilai duti atau cukai atau mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan," katanya.

Setakat ini, pesalah yang disabitkan kesalahan tersebut hanya dikenakan denda sehingga 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian