Saya mengalami masalah kencing bercabang. Pada lubang zakar ada sesuatu yang keras sehingga menghalang air kencing mengalir dengan lancar. Selepas kencing dan semasa kencing berasa sakit di hujung kepala zakar. Adakah ini petanda lemah tenaga batin? - Zakrul, Hulu Klang

 

Kencing bercabang boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan. Ia boleh berlaku secara spontan dan secara spontan juga ia pulih kembali. Ini terjadi mungkin kerana bahagian pertengahan lubang kencing melekat dan kencing keluar bercabang dan apabila pelekatan itu lega, air kencing keluar seperti biasa.

 

Jarang sekali keadaan kencing bercabang itu kekal dan memberi masalah seperti merecik pada pakaian atau menyakitkan. Jika ini berlaku secara kekal, maka mustahak untuk individu itu berjumpa doktor bagi menjalani rawatan. Kebanyakan lelaki yang mengalami kencing bercabang menganggap sebagai perkara yang tidak perlu dirujuk kepada doktor, jika keadaan cabang itu tidak menyakitkan dan pengeluaran kencing bercabang tidak mercik.

 

Apa agaknya yang boleh menyebabkan air kencing bercabang? Jarang sekali salur kencing radang akibat jangkitan dan bahagian pertengahan lubang kencing melekat sebagai parut. Pada mulanya individu yang mengalami perkara ini akan dapati sakit ketika kencing dan dia akan cuba kencing perlahan supaya tidak sakit.

 

Suatu ketika kemudian apabila lubang salur kencing tertutup atau terlekat di bahagian pertengahan atau terdapat ketulan isi yang terjojol dari mukosa salur kencing seperti papilloma atau kutil tersempal di pertengahan lubang kencing, maka pengeluaran air kencing kelihatan bercabang.

 

Apabila papilloma atau kutil itu dibuang atau pelekatan di bahagian pertengahan dilegakan, maka perjalanan kencing menjadi sehala dan tidak lagi bercabang. Jadi, jika masalah anda ini kekal iaitu air kencing keluar bercabang walaupun anda sudah kepit hujung zakar untuk meluaskan pembukaan lubang kencing dan masih juga sama, maka anda perlu berjumpa doktor untuk menjalani peperiksaan.

 

-Dr Mohd Ismail b Mohd Tambi, Pakar Andrologis (Sakit Tuan), Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual, Klinik Kesihatan Lelaki, Damai Service Hospital.